Read Time:1 Minute, 1 Second
KOTA KINABALU : Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan Datuk Fairuz Renddan menzahirkan penghargaan kepada seluruh penduduk di kawasan itu atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh beliau berkhidmat.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Fairuz menyatakan bahawa tempoh perkhidmatannya kini berakhir dan mandat itu dikembalikan semula kepada rakyat untuk menentukan kepimpinan baharu bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan.
“Saya sudah buat yang termampu untuk rakyat DUN Pintasan. Kini saya serahkan mandat ini semula kepada anda untuk memilih siapa yang akan memimpin DUN Pintasan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang banyak membantu sepanjang tempoh khidmatnya, termasuk Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Skuad N8 Pintasan, Wakil-wakil Anak Negeri, serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh kawasan DUN itu.
“Terima kasih UPPM, Skuad N8 Pintasan, Wakil Anak Negeri dan JKKK N8 Pintasan kerana sentiasa bersama saya,” katanya.
Semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 dibubarkan secara rasmi pada Isnin bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Pengumuman itu dibuat pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Sabah Bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat Kerajaan Negeri di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini. – SABAH MEDIA