Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Prestasi Sabah 2024 Memberangsangkan, Kualiti Hidup Rakyat Terus Meningkat


Read Time:3 Minute, 10 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

KOTA KINABALU,— Sabah terus mencatat kemajuan positif dengan sebahagian besar rakyat menikmati kualiti hidup yang semakin sejahtera, selaras dengan prestasi sosioekonomi negeri yang memberangsangkan sepanjang tahun 2024.

Menurut Buku Tahunan Perangkaan Sabah 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pelbagai petunjuk utama menunjukkan peningkatan ketara, meskipun terdapat beberapa aspek yang memerlukan perhatian berterusan.

Jumlah penduduk Sabah pada 2024 meningkat sebanyak 0.145 juta atau empat peratus, daripada 3.597 juta pada 2023 kepada 3.742 juta. Bagaimanapun, peratusan penduduk warganegara menurun daripada 74.4 peratus kepada 72.1 peratus, walaupun bilangannya meningkat kepada 2.698 juta.

Sebaliknya, penduduk bukan warganegara meningkat kepada 1.044 juta atau 27.9 peratus, berbanding 0.921 juta (25.6 peratus) pada tahun sebelumnya. Seramai 65 peratus daripada kumpulan ini tertumpu di lima daerah utama iaitu Sandakan, Tawau, Kota Kinabalu, Kinabatangan dan Lahad Datu.

Dari segi pekerjaan, jumlah penduduk bekerja meningkat daripada 1.622 juta kepada 1.717 juta orang, manakala Kadar Penyertaan Tenaga Buruh menunjukkan peningkatan kecil daripada 70.1 peratus kepada 70.9 peratus.

Namun, kadar pengangguran masih berada pada tahap 7.6 peratus, dengan majoriti penganggur terdiri daripada mereka berpendidikan menengah (54.1 peratus), diikuti pendidikan rendah (17.0 peratus) dan tiada pendidikan rasmi (12.8 peratus).

Penganggur berpendidikan tertiari pula mencatat penurunan ketara kepada 16.1 peratus berbanding 26.6 peratus pada 2020, menunjukkan peningkatan kebolehpasaran graduan Sabah.

Dalam sektor pendidikan, jumlah pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di Sabah terus meningkat kepada 29,230 orang pada 2024 berbanding 27,448 pada 2020, dengan majoriti menuntut di universiti awam.

Prestasi akademik juga menunjukkan trend positif apabila peratusan calon layak menerima Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan meningkat kepada 94.7 peratus pada 2024 berbanding 90.4 peratus pada 2020.

Dari segi pendapatan, Pendapatan Isi Rumah Kasar Bulanan Penengah meningkat 6.8 peratus kepada RM4,890, manakala pendapatan purata meningkat 5.3 peratus kepada RM6,498.

Walaupun jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar masih ketara, jurang tersebut semakin mengecil berikutan kadar peningkatan pendapatan di luar bandar yang lebih tinggi berbanding kawasan bandar.

Perbelanjaan Penggunaan Isi Rumah Purata pula direkodkan pada RM3,547 sebulan, dengan separuh daripadanya tertumpu kepada perbelanjaan perumahan serta makanan dan minuman.

Kadar inflasi Sabah kekal rendah dan menurun daripada 2.4 peratus pada 2023 kepada 1.2 peratus pada 2024, sekali gus membantu meredakan tekanan kos sara hidup rakyat. Penurunan inflasi turut dicatat bagi kumpulan makanan dan minuman, restoran serta perumahan dan utiliti.

Dari sudut ekonomi, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah meningkat kepada RM84.3 bilion pada 2024 berbanding RM83.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar KDNK negeri, manakala sektor pembinaan mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 18.8 peratus, ketiga tertinggi di Malaysia, selari dengan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan.

Sumbangan sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian bagaimanapun mencatat penurunan, manakala sektor pembuatan kekal stabil.

Jumlah perdagangan Sabah meningkat kepada RM107.7 bilion pada 2024 dengan mengekalkan lebihan imbangan perdagangan. Eksport minyak kelapa sawit meningkat 8.4 peratus, manakala import makanan dan binatang hidup meningkat 12.2 peratus.

Namun, import beras terus menunjukkan trend peningkatan, dengan nilai import melonjak 47 peratus dalam tempoh 2021 hingga 2024, meskipun kuantiti import hanya meningkat secara sederhana. Majoriti bekalan beras diimport dari Vietnam.

Dalam aspek infrastruktur asas, bekalan air menunjukkan peningkatan dengan jumlah air dibekalkan bertambah sembilan peratus sejak 2020, manakala bilangan sambungan pengguna berdaftar meningkat 12 peratus.

Panjang jalan raya di Sabah turut bertambah lebih 1,000 kilometer sepanjang tempoh 2020 hingga 2024. Bagaimanapun, peningkatan rangkaian jalan raya ini turut disertai peningkatan ketara kemalangan jalan raya, termasuk kematian akibat kemalangan.

Secara keseluruhan, prestasi Sabah pada 2024 menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan merentasi pelbagai sektor utama, namun beberapa cabaran struktural kekal memerlukan perhatian berterusan bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang dan mampan.

LEAVE A RESPONSE