Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Politeknik Sandakan kongsi kepakaran TVET dengan warga Penjara Sandakan

Read Time:1 Minute, 6 Second

SANDAKAN: Seramai 90 warga Penjara Sandakan, termasuk prospek (banduan) dan kakitangan penjara, menerima manfaat daripada perkongsian kepakaran dalam pelbagai bidang teknikal menerusi Program Jejak Mahabbah 2.0 anjuran Politeknik Sandakan Sabah (PSS).

Program khidmat masyarakat berimpak tinggi yang berlangsung selama sehari pada 23 Oktober itu merupakan kesinambungan daripada kejayaan Jejak Mahabbah 1.0 yang diadakan lebih awal tahun ini.

Pengarah PSS, Mohd Sahran @ Awang Mohidin berkata, program berkenaan menjadi wadah perkongsian ilmu dalam merealisasikan matlamat ‘TVET for All’.

“Program ini bukan sekadar aktiviti khidmat masyarakat, tetapi satu saluran untuk menyampaikan ilmu kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) kepada semua lapisan masyarakat, termasuk warga institusi pemulihan,” katanya.

Beliau menambah, inisiatif itu turut berjaya memupuk nilai prihatin, tanggungjawab, empati serta semangat kesukarelawan dalam kalangan pelajar PSS.

Program berkenaan melibatkan 20 kakitangan PSS sebagai urusetia dan 10 pelajar sebagai ahli jawatankuasa pelaksana.

Antara bidang utama yang dikongsi termasuk Pengetahuan Am, Moral, Bahasa, Asas Pertanian dan Perikanan.

Aktiviti yang dijalankan pula merangkumi Program Agroteknologi, Program Teknologi Akuakultur (Asas Binaan Sistem Akuaponik dan Semaian), Aktiviti Robotic Arm (Robotik dan Automasi), Perkongsian Fiqh Wanita serta Aktiviti Jom Kekal Sihat.

PSS berharap program seumpama ini terus mendapat sokongan agensi dan komuniti setempat bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya pada masa hadapan. Usaha ini selari dengan komitmen politeknik untuk terus menyantuni dan menyokong institusi pemulihan di Malaysia melalui program berimpak tinggi.

LEAVE A RESPONSE