Read Time:1 Minute, 14 Second
RANAU : Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menegaskan komitmen untuk memastikan keselamatan, ketenteraman dan kelancaran proses Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU DU Sabah Ke-17) menerusi kesiapsiagaan penuh di setiap peringkat.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata setiap pegawai dan anggota perlu mengekalkan tahap disiplin, profesionalisme dan tanggungjawab tinggi dalam melaksanakan tugas semasa tempoh pilihan raya.
“Kita mahu masyarakat melihat PDRM sebagai pasukan yang bukan sahaja tegas dalam penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga adil dan berintegriti dalam memastikan hak rakyat untuk mengundi berlangsung dengan aman,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, di sini pada Selasa.
Dalam lawatan kerja itu, Jauteh turut meninjau persiapan logistik, kawalan keselamatan dan pengurusan pusat mengundi, termasuk langkah-langkah menggunakan teknologi moden seperti dron pemantauan bagi memperkukuh kawalan keselamatan di lapangan.
Beliau turut merasmikan Bilik Mesyuarat “Liwagu” IPD Ranau, selain menyaksikan demonstrasi penerbangan dron dari kawasan Kundasang sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi PRU akan datang.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Ranau, Supt Mursalin Mahmud, dan Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam, yang bersama-sama membincangkan aspek keselamatan serta penyelarasan lokasi pusat pengundian utama di Dewan Masyarakat Ranau.
Jauteh menambah, kekuatan pasukan PDRM bukan sahaja bergantung kepada bilangan anggota, tetapi juga kepada kerjasama erat antara kepimpinan dan barisan pelaksana di lapangan.
“Kita perlu bekerja sebagai satu pasukan yang padu. Kesiapsiagaan bukan hanya pada peralatan, tetapi pada semangat dan tanggungjawab setiap anggota untuk menegakkan keadilan tanpa pilih kasih,” katanya. – SABAH MEDIA






