Read Time:1 Minute, 27 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk membebaskan seorang tahanan.
Sarjan Sazaly Sahaji, 45, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, Sazaly yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, secara rasuah menerima RM4,000 daripada seorang lelaki bernama Al Sadam Madusin sebagai balasan untuk melepaskan seorang tahanan dikenali sebagai Disa pada 28 Julai 2024 jam lebih kurang 10 pagi bertempat di Restoran Maimunah Maju, Kepayan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 12 Disember ini bagi pengurusan kes pra-perbicaraan, manakala perbicaraan ditetapkan pada 2 dan 3 Mac tahun depan.
Sazaly dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM5,000 serta dua penjamin tempatan, sementara menunggu kesnya selesai.
Mahkamah turut memerintahkan Sazaly melapor diri di Balai Polis Inanam sekali sebulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan, serta tidak memohon atau menggunakan pasport sepanjang tempoh perbicaraan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Dk Afiqah Alya Ak Johari mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin dan beberapa syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam bela Sylyester Kuan memohon jumlah jaminan yang lebih rendah, dengan alasan Sazaly yang merupakan ketua keluarga kini digantung tugas dan perlu menyara tiga orang anak.
Sylyester turut memohon agar dua penjamin yang sama digunakan seperti dalam dua kes dadah melibatkan Sazaly yang masih belum selesai.






