Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan akan memberikan cuti tambahan kepada penjawat awam sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bagi menghargai usaha dan komitmen mereka sepanjang bulan Ramadan.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap sempena sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Suria Sabah Shopping Mall di sini, hari ini.
Beliau berkata, sekiranya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat, 20 Mac, maka cuti tambahan akan diberikan pada Isnin, 23 Mac. Namun jika Aidilfitri disambut pada Sabtu, 21 Mac, cuti tambahan akan diberikan sehari lebih awal iaitu pada Jumaat, 20 Mac.
Menurutnya, pengumuman awal dibuat bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan lebih teratur untuk menyambut perayaan bersama keluarga.
“Dalam tradisi kita, kita tahu Hari Raya akan jatuh sama ada pada Jumaat atau Sabtu, tetapi kita tidak boleh tentukan sekarang. Apa pun keputusannya nanti, jangan bimbang kerana kerajaan akan memberikan cuti tambahan,” katanya.






