Read Time:1 Minute, 18 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan lawatan khas ke Tamu Jalan Gaya bagi meninjau sendiri suasana perniagaan, bertemu peniaga kecil serta mendengar secara langsung keperluan dan cabaran mereka.
Beliau yang tiba kira-kira jam 8.30 pagi disambut Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah seterusnya mengadakan lawatan ke reruai Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Lawatan selama sejam itu turut menarik perhatian pengunjung dan peniaga yang teruja menerima kehadiran Perdana Menteri di kawasan ikonik yang menjadi nadi ekonomi mikro di pusat bandar Kota Kinabalu.

Anwar yang diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Sepanjang lawatan, Perdana Menteri sempat menyantuni peniaga dan penjaja tradisi yang menjual produk tempatan seperti kraftangan, makanan tradisional, barangan segar serta hasil buatan komuniti setempat.
Ketika tinjauan mesra itu, Perdana Menteri turut singgah bersarapan bersama komuniti di sebuah premis makanan di Jalan Gaya.
Jalan Gaya terletak di pusat bandar raya Kota Kinabalu yang dikelilingi pelbagai jenis premis perniagaan, termasuk perbankan.
Di hujung Jalan Gaya turut terletaknya Bangunan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) yang dikenali sebagai satu-satunya bangunan lama dibina pada zaman pentadbiran British yang masih wujud hingga kini.
Selepas meninjau Tamu Jalan Gaya, Anwar bergerak ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bagi menghadiri Program Rancakkan MADANI Sabah.
Pada petang nanti, Perdana Menteri dijadual menghadiri beberapa mesyuarat berkaitan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) sebelum mengumumkan calon PKR Sabah pada malam nanti.
Lawatan Perdana Menteri diteruskan di Tawau esok. – SABAH MEDIA






