Read Time:1 Minute, 21 Second
BEAUFORT: Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah Beaufort sedia untuk diaktifkan pada bila-bila masa sekiranya situasi banjir bertambah buruk susulan keadaan cuaca tidak menentu serta hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, persiapan awal telah dilakukan dengan kerjasama semua agensi keselamatan dan jabatan berkaitan bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku bencana.
Beliau berkata, PKOB akan diaktifkan sebaik sahaja menerima isyarat dan keperluan di peringkat akar umbi, khususnya melibatkan kawasan rendah dan kampung-kampung yang berisiko dinaiki air.
“PKOB memang sentiasa bersedia, dan tinggal lagi kita memberi arahan sekiranya penduduk perlu dipindahkan.
“Semua jentera dan pasukan berkaitan telah dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pecah tanah pembinaan Dewan Tamu Desa Kampung Bangkalalak di sini pada Selasa.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan turut menyeru penduduk, terutama yang tinggal berhampiran Sungai Padas dan kawasan rendah, agar sentiasa berwaspada serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri dan keluarga.
Beliau turut menasihati ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak dan tidak membenarkan mereka menghampiri kawasan banjir atau bermain air yang boleh mendatangkan risiko keselamatan.
Menurutnya, penduduk juga digalakkan membuat persediaan awal termasuk menyelamatkan dokumen penting, barangan keperluan asas serta ternakan sekiranya diarahkan berpindah.
Dalam pada itu, Ruslan berkata, kepimpinan kampung diminta memainkan peranan aktif dengan memantau keadaan penduduk setempat dan segera menyalurkan maklumat kepada Pejabat Daerah, Pejabat ADUN serta agensi berkaitan bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Beliau yakin dengan kerjasama semua pihak dan tahap kesiapsiagaan yang ada, sebarang kemungkinan bencana dapat ditangani dengan lebih tersusun dan berkesan. – SABAH MEDIA






