Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Piala FA : Sabah FC tekad cipta sejarah baharu

Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Sabah FC berada pada tahap terbaik menjelang aksi penentu Piala FA bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) FC di Stadiun Nasional Bukit Jalil Ahad ini.

Ketua Jurulatih, Jean Paul de Marigny berkata, Sabah yang telah menjalani persiapan intensif hampir lapan minggu itu yakin aksi perlawanan itu bakal melakar sejarah baharu buat skuad Badak.

Katanya, seluruh pemain kini berada pada prestasi optimum, seiring harapan ribuan penyokong yang menantikan detik bersejarah ini sejak tiga dekad lalu.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini. Para pemain sudah bekerja keras dan mereka benar-benar layak menerima penghargaan ini.

“Apabila seseorang berjuang dan akhirnya diraikan, kejayaannya menjadi lebih manis. Kami akan memberikan segala-galanya demi Sabah,” katanya pada sesi latihan terbuka di Stadium Likas di sini Rabu lalu.

Menurutnya, Sabah FC telah melengkapkan perancangan taktikal bagi mengekang ancaman lawan sambil memanfaatkan setiap ruang yang tersedia.

Momentum pasukan juga semakin meningkat selepas aksi cemerlang serta jaringan berkualiti yang terhasil pada perlawanan terdahulu.

Beliau turut menggesa penyokong Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia untuk memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) atau memberi sokongan dari rumah bagi menyemarakkan lagi semangat juang pemain pada perlawanan akhir yang dinantikan itu.

Pada sesi latihan terbuka tersebut, peminat turut berpeluang beramah mesra dan bergambar bersama pemain, menjadikan suasana di Likas cukup meriah.

Turut mencuri tumpuan, kehadiran Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang menyampaikan sumbangan khas berjumlah RM100,000 sebagai tanda penghargaan atas kejayaan Sabah FC mara ke final Piala FA 2025. Presiden SAFA, Datuk Ir Shahelmy Yahya, turut hadir menyatakan sokongan.

Dengan sokongan padu penyokong dan persiapan rapi yang telah dilalui, Sabah FC kini hanya selangkah lagi menuju sejarah baharu.- SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC

LEAVE A RESPONSE