KOTA KINABALU: Penyerang import Sabah FC, Ajdin Mujagic muncul wira apabila meledak hatrik bergaya untuk membantu skuad Badak menewaskan Kelantan The Real Warriors (TRW) 3-1 dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Likas malam tadi.
Kemenangan itu memastikan Sabah mara ke separuh akhir dengan agregat 5-2, sekali gus mengekalkan impian mereka untuk memburu kejuaraan sulung sejak kali terakhir menjulang trofi berprestij itu 30 tahun yang lalu.
Mujagic membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 hasil gerakan menarik di kotak penalti sebelum menggandakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi rembatan deras yang gagal disekat benteng Kelantan.

Pemain kelahiran Bosnia itu melengkapkan malam gemilangnya dengan sepakan penalti tenang pada minit ke-56, menutup ruang kebangkitan pasukan lawan.
Kelantan TRW hanya mampu mencipta gol sagu hati melalui pemain pertahanan kanan dari Filipina, Simen Lyngbo, pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Dengan kemenangan ini, Sabah FC akan menentang Selangor FC di separuh akhir. – FOTO SABAH FC






