Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah menyeru seluruh rakyat di negeri ini untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan bola sepak Sabah FC yang berjaya layak ke peringkat akhir Piala FA bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil Ahad ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kejayaan melangkah ke peringkat akhir itu berjaya menamatkan penantian selama 27 tahun selepas Sabah beraksi di final Piala FA pada tahun 1998.
“Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas kepada pasukan bola sepak Sabah FC kerana telah berjaya mara ke perlawanan akhir Piala FA seterusnya menamatkan penantian selama 27 tahun.
“Kali terakhir pasukan Sabah ke perlawanan akhir Piala FA ialah pada tahun 1998. Marilah kita bersama-sama memberikan sokongan kepada pasukan kita yang akan bertemu JDT pada 14 Disember 2025 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembentangan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Jumaat. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC






