Read Time:1 Minute, 14 Second
SELAYANG : Sabah FC mengesahkan kemaraan ke pentas separuh akhir Piala Cabaran musim 2025/26 selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang PDRM FC dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Selayang di sini pada Ahad.
Keputusan tersebut sudah memadai buat Sang Badak untuk melangkah ke kelompok empat terbaik dengan agregat 3-1, hasil kemenangan 2-0 pada aksi suku akhir pertama.
Perlawanan bermula rancak apabila PDRM berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi Fakhrul Azim yang bijak memanfaatkan peluang di dalam kotak penalti, sekali gus merapatkan defisit agregat.
Namun kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Sabah kembali melebarkan jurang agregat hanya seminit kemudian.
Fergus Tierney tenang menyudahkan peluang terhidang untuk mengikat kedudukan 1-1 dan mengukuhkan kelebihan agregat pelawat.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan selepas itu, namun keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, tempo permainan semakin meningkat. Sabah hampir menambah jaringan pada minit ke-71, namun ketangkasan Hakeem Hamidun wajar dipuji apabila beliau pantas menyambar bola muntah sebelum sempat direbut Kervens Belfort.
Sang Badak terus mengasak kubu PDRM menerusi gandingan Tierney dan Belfort, namun barisan pertahanan tuan rumah kekal kental menangkis setiap ancaman.
PDRM turut berpeluang menjaringkan gol kemenangan pada penghujung permainan, namun percubaan Fadi Awad tersasar jauh dari gawang pelawat.
Keputusan 1-1 kekal hingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan Sabah mara ke separuh akhir dengan agregat 3-1 dan semakin hampir untuk merealisasikan impian menjulang Piala Cabaran musim ini. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC






