Read Time:1 Minute, 23 Second
KOTA KINABALU: Masyarakat berbilang kaum agama khususnya di Sabah diajak untuk menjadikan sambutan Aidilfitri sebagai wadah bagi memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah berkata, Aidilfitri bukan sekadar perayaan selepas sebulan menjalani ibadah puasa, tetapi juga satu kesempatan untuk mempereratkan hubungan silaturahim sesama keluarga, jiran tetangga serta rakan taulan tanpa mengira latar belakang.
Dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri, beliau berkata semangat saling menghormati dan memahami antara satu sama lain perlu terus dipupuk agar keharmonian masyarakat dapat dikekalkan, khususnya di kawasan Sipitang yang terkenal dengan kepelbagaian budaya dan tradisi.
Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia turut mengajak masyarakat mengambil kesempatan sempena Aidilfitri dengan mengunjungi sanak saudara serta sahabat handai yang sudah lama tidak ditemui, sekali gus mengeratkan kembali hubungan kekeluargaan dan persahabatan.
Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak melupakan golongan kurang berkemampuan seperti fakir miskin, warga emas dan mereka yang memerlukan bantuan agar kegembiraan Aidilfitri dapat dirasai bersama.
Menurutnya lagi, nilai keprihatinan dan sikap saling membantu merupakan antara inti pati penting dalam ajaran Islam serta budaya masyarakat Malaysia yang perlu terus diamalkan.
Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan orang ramai yang pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan agar sentiasa berhati-hati di jalan raya dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri serta keluarga.
“Pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, rancang perjalanan dengan teliti dan elakkan memandu dalam keadaan letih bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Mengakhiri perutusannya, beliau mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat khususnya warga di kawasan Parlimen Sipitang, sambil berharap sambutan Aidilfitri tahun ini akan terus mengukuhkan perpaduan serta membawa kegembiraan kepada semua






