Read Time:1 Minute, 3 Second
KOTA KINABALU: Perdana Park Tanjung Aru dijangka akan dibuka semula kepada orang awam dalam masa terdekat selepas Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerima penyerahan rasmi taman berkenaan.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, pengumuman rasmi pembukaan semula akan dibuat melalui notis awam dalam masa terdekat.

Terdahulu, Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah turut mengadakan tinjauan dan sesi ‘Brisk Walk’ ditaman itu pada Selasa lalu bersama pegawai dan kakitangan DBKK.
Dalam ‘Brisk Walk’ itu, Sabin menumpukan pemeriksaan kepada pelbagai kemudahan taman termasuk trek joging, wakaf, bangku taman, stesen senaman, taman permainan kanak-kanak serta tandas awam.
Tinjauan itu adalah bagi memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk pengunjung.

DBKK menjelaskan bahawa kerja-kerja pembaikan dijalankan dengan peruntukan daripada Kementerian Kewangan Negeri Sabah, termasuk pembaikan pagar, lampu, tandas, dan trek joging yang uzur. Pembaikan akan diteruskan secara berperingkat bergantung kepada peruntukan yang tersedia.
Sabin menegaskan bahawa pembukaan semula taman ini bukan sahaja menyediakan ruang rekreasi bagi rakyat, malah mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah seperti berjalan, berjoging, dan senaman luar.

“Perdana Park Tanjung Aru merupakan salah satu lokasi utama bagi penduduk Kota Kinabalu untuk bersantai dan beriadah.
“Kami mahu pastikan setiap kemudahan berada dalam keadaan baik, selamat dan selesa untuk semua pengunjung,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK






