Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Perbicaraan Sivil Bahvest–WRSB: Bekas CEO akui tiada bantahan rasmi atau aduan dibuat

Read Time:1 Minute, 47 Second

TAWAU: Perbicaraan sivil melibatkan AuMas Resources Berhad (dulu dikenali Bahvest Resources Berhad) bersama anak syarikat milik penuhnya, Wullersdorf Resources Sdn Bhd (WRSB), terhadap Datuk Lo Fui Ming, Lo Teck Yong, Chong Khing Chung dan Southsea Gold Sdn Bhd diteruskan di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini.

Prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos itu memasuki hari keenam dengan pemeriksaan balas terhadap saksi pertama plaintif, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AuMas, Chong Tzu Khen.

Plaintif diwakili firma guaman Norbert Yapp & Associates bersama Azimi Yahya, manakala pihak defendan diwakili Andy Tay & Associates bersama Lawrence Chai serta Peter Soong & Partners.

Dalam tindakan berkenaan, plaintif antara lain memohon deklarasi bahawa Datuk Lo Fui Ming dan Lo Teck Yong didakwa melanggar kewajipan fidusiari, statutori serta kewajipan berwaspada (duty of care).

Mereka turut memohon supaya Resolusi Sementara antara WRSB dan Southsea diisytiharkan terbatal dan tidak sah.

Selain itu, plaintif menuntut pemulangan wang berjumlah RM6 juta yang dibayar kepada Southsea pada 10 Mei 2023, ganti rugi am, ganti rugi melampau serta ganti rugi teladan, faedah lima peratus setahun dan tuntutan khas sebanyak RM67,086,250 berkaitan dakwaan kehilangan 41 jongkong emas (gold dore bars).

Sepanjang pemeriksaan balas, saksi mengakui beliau merupakan pengarah WRSB dan pernah berkhidmat sebagai pengarah ganti di Southsea, sekali gus mempunyai akses kepada rekod kewangan serta hak menghadiri dan mengundi dalam mesyuarat lembaga pengarah. Bagaimanapun, beliau mendakwa tidak dijemput menghadiri mesyuarat lembaga pengarah selepas 26 April 2023.

Mahkamah turut diberitahu bahawa saksi tidak merekodkan sebarang bantahan rasmi dalam minit mesyuarat, selain tidak membuat aduan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bursa Malaysia atau pihak polis berhubung dakwaan salah urus atau pelantikan Chong Khing Chung sebagai pengarah.

Saksi juga bersetuju bahawa tiada laporan audit forensik atau penemuan kawal selia yang menyokong dakwaannya bahawa syarikat berkenaan dijalankan sebagai “pertunjukan solo” (one-man show), namun beliau tidak bersetuju bahawa dakwaan tersebut sekadar andaian peribadi.

Dalam prosiding sama, mahkamah dimaklumkan bahawa pengambilalihan WRSB oleh Bahvest pada 2015 telah dilaksanakan dengan kelulusan lembaga pengarah dan pemegang saham, selain melibatkan proses usaha wajar (due diligence) oleh penasihat profesional, bank pelaburan dan peguam cara luar.

Perbicaraan ditangguhkan pada jam 1 tengah hari dan akan disambung semula esok.

LEAVE A RESPONSE