Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Perbicaraan sivil AuMas diteruskan di Mahkamah Tinggi Tawau

Read Time:1 Minute, 27 Second

TAWAU: Perbicaraan kes sivil membabitkan AuMas Resources Berhad (dahulunya Bahvest Resources Berhad) dan anak syarikat milik penuhnya, Wullersdof Resources Sdn. Bhd., diteruskan hari ini di Mahkamah Tinggi Tawau di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos.

Dalam prosiding itu, mahkamah mengeluarkan beberapa arahan pengurusan kes berhubung beberapa permohonan yang masih belum diputuskan.

Tindakan saman berkenaan menamakan Lo Fui Ming, Lo Teck Yong, Chong Khing Xhung serta Southsea Gold Sdn. Bhd. sebagai defendan.

Peguam bagi defendan keempat dan kelima memaklumkan mahkamah bahawa permohonan untuk membatalkan tindakan (striking-out) berserta afidavit sokongan sudah diemelkan kepada pihak berkaitan minggu lalu.

Mahkamah menetapkan 26 Februari 2026 sebagai tarikh akhir pemfailan Afidavit Bantahan, manakala Afidavit Jawapan perlu difailkan selewat-lewatnya 12 Mac 2026.

Peguam sama turut memaklumkan beliau mewakili defendan kelima dan akan memfailkan satu lagi permohonan pembatalan dalam masa terdekat.

Mahkamah memutuskan permohonan baharu itu akan mengikut garis masa sama seperti Lampiran 15 dan 55, iaitu Afidavit Bantahan sebelum 2 Mac 2026 dan Afidavit Jawapan sebelum 16 Mac 2026.

Mahkamah turut menetapkan hujahan bertulis bagi tiga permohonan termasuk Lampiran 50, Lampiran 55 serta permohonan baharu defendan kelima.

Semua pihak diarahkan memfailkan hujahan bertulis secara serentak sebelum 31 Mac 2026, manakala hujahan balasan perlu dikemukakan selewat-lewatnya 14 April 2026.

Tarikh pendengaran ditetapkan pada 29 April 2026 dan akan turut melibatkan pendengaran Lampiran 4 secara terbuka. Tarikh terdahulu pada 18 Mac 2026 dibatalkan.

Sementara itu, peguam Yapp memaklumkan hujahan bagi permohonan injunksi masih belum difailkan. Mahkamah mengarahkan supaya garis masa sama seperti empat permohonan lain turut terpakai bagi permohonan injunksi berkenaan.

Peguam plaintif pula memaklumkan wakil defendan keenam, ketujuh dan kesembilan berhasrat memfailkan permohonan lanjutan masa. Pihak plaintif tidak membantah perkara itu.

Mahkamah bagaimanapun menegaskan sebarang permohonan lanjutan masa perlu difailkan dalam tempoh yang ditetapkan.

LEAVE A RESPONSE