Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Penyanyi dan alumni Akademi Fantasia, Lotter P. Edwin Edin, meninggal dunia semalam di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini.
Pemergian Lotter atau juga dikenali sebagai Dudu, dikongsikan oleh adiknya yang memaklumkan beliau meninggal dunia kira-kira jam 10.13 malam.
“Dukacita dimaklumkan, abang saya, Lotter, telah meninggal dunia pada 18/10/2025, jam 10:13pm di QEH 1. Pls remember him in your prayers,” menurut hantaran itu.
Dilahirkan pada 30 April 1982, Lotter yang berpersonaliti ceria dikenali ramai menerusi program realiti TV AF musim keempat pada tahun 2006 dan merangkul naib juara dalam program itu.
Pada tahun 2023, Lotter bersama kumpulannya The Divine Master melancarkan single baharu berjudul “Kemarin Mengecewakanmu”, menandakan kemunculan semula beliau selepas hampir 15 tahun berehat daripada dunia muzik.
Lotter juga pernah menjadi penyampai radio Suria FM Sabah dan Kupikupifm.
Ucapan takziah dan doa daripada rakan artis serta peminat membanjiri media sosial sejak awal pagi tadi.