Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Penyambungan silang paip atasi gangguan air Kinarut, Kawang

Read Time:2 Minute, 17 Second

PAPAR: Kerja-kerja penyambungan silang (inter-connection) antara rangkaian paip dari tangki utama P1 LRA Kogopon ke rangkaian paip tangki utama P3 di Kawang dilaksanakan sebagai langkah mitigasi segera bagi menangani gangguan serius bekalan air yang berlarutan sejak penghujung Disember tahun lalu.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, ADUN Limbahau dan Pegawai Daerah Papar turun meninjau status kemajuan kerja penyambungan silang tersebut, petang tadi.

Semasa tinjauan itu, taklimat berhubung pelaksanaan projek itu telah disampaikan oleh Jurutera Air Papar serta pihak kontraktor yang terlibat.

Menurut Armizan, pelaksanaan penyambungan silang paip P1 ke P3 itu adalah susulan keputusan mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri pada 8 Januari lalu, bagi membincangkan isu gangguan serius bekalan air di Mukim Kinarut/Kawang.

“Penyambungan silang ini merupakan antara langkah mitigasi serta-merta yang diambil sementara menunggu projek jangka panjang disiapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Armizan menjelaskan, projek naik taraf LRA Kogopon yang melibatkan kapasiti tambahan sebanyak 40 juta liter sehari (JLH) atau dikenali sebagai Kogopon 2 telah bermula pada Ogos 2023 dan dijadualkan siap pada Ogos 2026 selepas tempoh pelaksanaan selama tiga tahun.

Mengambil kira projek tersebut masih berjalan dan gangguan bekalan air semakin kritikal, beliau berkata, mesyuarat pada 8 Januari lalu memutuskan agar kapasiti rawatan air di LRA Kogopon sedia ada yang berkapasiti 40 JLH ditingkatkan secara sementara sebanyak 10 peratus, bersamaan antara 3.5 hingga 4 JLH.

“Kapasiti tambahan ini akan disalurkan terus dari P1 ke P3 bagi menampung keperluan kritikal di Mukim Kinarut dan Kawang,” katanya.

Tambah beliau, penyambungan silang itu turut membolehkan jarak pembekalan air dari P1 di LRA Kogopon ke P3 di Mukim Kinarut/Kawang dipendekkan daripada 33 kilometer kepada 10.3 kilometer.

“Bagi melaksanakan peningkatan kapasiti rawatan sementara tersebut, kerja-kerja terlibat merangkumi penyambungan silang rangkaian paip sedia ada di dua lokasi, penggantian injap di bahagian pengambilan LRA Kogopon sedia ada serta penggantian pam air di loji berkenaan.

“Kerja-kerja di lapangan telah bermula pada 9 Januari 2026 dan dijalankan secara berterusan 24 jam sehari kecuali ketika hujan lebat, dengan sasaran keseluruhan proses siap pada 24 Januari ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan proses penggantian injap akan memerlukan penutupan sementara loji selama kira-kira 10 jam bermula lewat malam 20 Januari 2026, tertakluk kepada keadaan cuaca.

“Kita mengharapkan langkah mitigasi segera ini dapat mengurangkan gangguan bekalan air serius di Mukim Kinarut dan Kawang, sekali gus menyelesaikan isu catuan yang telah lama dihadapi penduduk sehingga penyelesaian jangka panjang dicapai melalui siapnya LRA Kogopon 2 pada suku keempat 2026,” katanya.

Beliau menambah, pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan memaklumkan secara rasmi kawasan terlibat dengan penutupan sementara loji tersebut dalam masa terdekat.

“Kita ikhtiarkan sehabis baik untuk menghentikan kesusahan yang dihadapi penduduk setempat sejak sekian lama,” katanya.

LEAVE A RESPONSE