Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Penunggang maut, kemalangan motosikal–MPV di Kolombong


Read Time:1 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di persimpangan lampu isyarat BSA Kolombong, dekat sini, pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.55 pagi tadi (1 Jan).

Menurut beliau, siasatan awal mendapati motosikal yang datang dari arah Inanam dipercayai bergerak lurus ketika lampu isyarat berwarna merah sebelum melanggar bahagian sisi kiri sebuah MPV jenis Perodua Alza yang sedang membelok ke kanan menuju ke BSA Kolombong selepas lampu isyarat bertukar hijau.

“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 10.00 pagi oleh Pegawai Perubatan, manakala pembonceng motosikal serta pemandu MPV turut mengalami kecederaan dan telah menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati motosikal mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala kenderaan MPV rosak pada bahagian sisi kiri.

Tambahnya, polis telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian termasuk mengambil gambar, membuat lakaran rajah kasar, mengesan saksi bebas, menahan kenderaan terlibat untuk pemeriksaan Puspakom serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222 bagi membantu siasatan,” katanya.

LEAVE A RESPONSE