Read Time:1 Minute, 8 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah telah meminta pandangan Peguam Besar Sabah bagi membincangkan kaedah terbaik untuk melaksanakan beberapa janji penting dalam manifesto kerajaan, khususnya berkaitan pengurusan dana hasil negeri dan penubuhan Dana Amanah untuk kepentingan rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pertemuan itu diadakan bagi memastikan setiap dasar yang dirancang dapat dilaksanakan secara sah, teratur serta mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang sedia ada.
“Semalam saya panggil Peguam Besar Negeri Sabah bertemu saya di rumah.
“Saya minta beliau meneliti dan memikirkan bagaimana cara terbaik untuk kita melaksanakan apa yang telah kita tetapkan dalam manifesto,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kempen Rumah Kita, Kita Jaga di perkarangan Masjid Al-Munir Darau di sini malam ini.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, antara perkara utama yang dibincangkan adalah berkaitan hasil 40 peratus dan juga rizab kewangan negeri yang dirancang untuk disimpan dalam bentuk dana amanah.
“Kita bercadang mewujudkan satu ‘trust fund’. Tujuannya jelas, apabila kita mempunyai kewangan yang mencukupi dan stabil, kita akan memulangkan semula hasil itu kepada rakyat Sabah yang berumur 18 tahun ke atas setiap tahun,” jelasnya.
Hajiji menegaskan bahawa ketika ini kerajaan berada dalam fasa perancangan dan penelitian dari sudut perundangan, sebelum sebarang langkah rasmi dilaksanakan.
“Kita sedang dalam proses ini dan sebab itu kita memerlukan pandangan serta bantuan Peguam Besar Negeri untuk menentukan mekanisme yang betul,” katanya. – SABAH MEDIA






