Penjawat awam, pekerja syarikat pelancongan ditahan SPRM berhubung tuntutan palsu RM1.3 juta
KOTA KINABALU: Empat penjawat awam dan dua pekerja syarikat pelancongan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berhubung pembelian tiket penerbangan melalui waran perjalanan udara.
Tuntutan tersebut melibatkan jumlah kira-kira RM1.3 juta.
Butiran penerbangan dipercayai dipalsukan dan tiada tiket penerbangan dibekalkan oleh syarikat kepada pegawai awam yang berkhidmat di Badan Berkanun Persekutuan dan pekerja syarikat berkenaan.
Kesemua suspek iaitu dua lelaki dan empat perempuan yang berusia dalam lingkungan 30an hingga 50an tersebut telah ditahan di Pejabat SPRM Sabah sekitar jam 9.30 malam tadi (9 Februari) semasa hadir memberi keterangan.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk TPj Mohd Fuad Bee Basrah dalam satu kenyataan mengesahkan tangkapan itu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana telah mengemukakan dokumen yang mengandungi pernyataan yang palsu.
Beliau berkata permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Beberapa siri tangkapan akan dibuat pada masa akan datang berdasarkan perkembangan siasatan kes,” katanya.






