KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan dua ahli keluarganya yang tidak layak sebagai penerima Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Suspek, lelaki berusia lingkungan 50-an, yang ditahan kira-kira jam 9.50 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 dan mendapati rumah yang dibina atas nama bapa mentua dan adik iparnya telah siap pada tahun 2023.
Namun sehingga tahun 2025 didapati rumah tersebut masih belum didiami dan ini menimbulkan keraguan terhadap kelayakan sebenar penerima dan berpotensi menjejaskan objektif program bantuan tersebut.
Pengarah SPRM Negeri Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek dijangka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Sandakan dalam masa terdekat,” katanya.






