Read Time:1 Minute, 39 Second
KOTA KINABALU: Polis telah membuka sebanyak 290 kertas siasatan membabitkan kes penipuan dalam talian dengan jumlah kerugian RM14.628 juta dalam tempoh awal Januari hingga 15 Mac tahun ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, daripada jumlah kes tersebut, 214 kes merupakan penipuan atas talian yang menyebabkan kerugian berjumlah RM11.12 juta.
Beliau berkata, 46 lagi kes membabitkan kes tipu pembelian e-dagang (kenderaan) yang menyebabkan kerugian RM328,888.
Menurutnya, modus operandi bagi kes penipuan pembelian e-dagang adalah dengan pemilik kenderaan mengiklankan jualan di platform media sosial seperti Facebook dan Mudah.my, sebelum iklan tersebut disalin semula oleh scammer pada harga jualan yang lebih rendah bagi menarik perhatian pembeli.
“Apabila ada mangsa berminat untuk membeli maka sindiket akan berunding harga dan arahkan mangsa ke alamat pemilik asal untuk melihat kenderaan tersebut.
“Pada masa yang sama, sindiket akan berurusan dengan pemilik kenderaan dan maklumkan berminat untuk membeli serta akan hantar orang untuk melihat kondisi kenderaan. Setelah mangsa sudah melihat kenderaan dan bersetuju, maka sindiket akan minta buat bayaran sebelum mendapatkan kenderaan tersebut.
“Setelah membuat bayaran, pemilik kenderaan enggan menyerahkan kenderaan disebabkan tidak terima bayaran manakala sindiket akan menghilangkan diri serta sekat panggilan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati bagi kes penipuan pembelian e-dagang, sindiket akan menjadi orang tengah dan tidak akan berjumpa dengan mangsa ataupun pemilik kenderaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam agar jangan mudah percaya dengan iklan di media sosial serta tawaran harga yang murah dan buat semakan pemilik kenderaan sebelum membuat sebarang urus niaga.
Pada masa yang sama orang awam dinasihatkan juga dalam urusan tempahan homestay melalui iklan media sosial.
“Semak terlebih dahulu sebelum berurusan dan membuat pembayaran. Ini kerana ada sindiket mengambil kesempatan untuk menipu orang awam dalam urusan tempahan homestay di kawasan bandar serta tempat peranginan pada musim cuti sekolah mahupun cuti perayaan.
“Pihak kami memohon agar orang awam sentiasa berwaspada dengan penipuan-penipuan scammer atas talian,” katanya.






