Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Penilaian menyeluruh sebelum WFH dilaksanakan – Masidi

Read Time:1 Minute, 10 Second

RANAU : Jemaah Menteri Sabah telah mengarahkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) menjalankan penilaian terperinci berhubung cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah (WFH) dalam kalangan penjawat awam negeri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, arahan itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet negeri baru-baru ini sebagai sebahagian usaha meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan penggunaan bahan api.

Beliau berkata, penilaian tersebut melibatkan pengenalpastian kakitangan yang tidak tergolong dalam perkhidmatan kritikal (non-essential service) dan berpotensi melaksanakan tugasan secara WFH tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Pejabat SKN akan menentukan kategori kakitangan yang layak serta mekanisme pelaksanaan. Kita juga melihat pendekatan di peringkat Persekutuan sebagai rujukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Ranau di sini pada Sabtu.

Masidi yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa sebarang keputusan mengenai jumlah hari bekerja dari rumah atau tarikh pelaksanaan masih belum ditetapkan dan akan diumumkan selepas proses penilaian selesai.

Beliau turut menjelaskan bahawa daripada kira-kira 20,000 penjawat awam negeri, tidak semuanya sesuai untuk melaksanakan WFH kerana perlu mengambil kira keperluan perkhidmatan serta operasi jabatan masing-masing.

“Yang penting, kita mahu memastikan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tidak terjejas. Apa juga keputusan nanti, operasi mesti berjalan seperti biasa dengan gangguan minimum,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa inisiatif ini merupakan antara langkah kerajaan negeri untuk mengoptimumkan penggunaan sumber serta mengurangkan kos, termasuk penggunaan minyak, selari dengan usaha meningkatkan kecekapan pentadbiran. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE