Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Peniaga tepi jalan Kg Marahang Gana mohon kerajaan sedia tapak baharu atau kekalkan tempat asal

Read Time:1 Minute, 56 Second

Oleh Florieta Diet

PAPAR: Beberapa peniaga kecil di tepi jalan Kampung Marahang Gana di sini berharap kerajaan dapat menyediakan tapak berniaga tepi jalan yang lebih selesa serta lengkap dengan kemudahan awam.

Seorang peniaga, Tom Masnasius, 39, dari Kampung Kompimpinan Kawang, berkata beliau yang dibantu isteri telah berniaga menjual daging salai di kawasan itu lebih lapan tahun, sekali gus menjadi sumber rezeki utama keluarga mereka.

“Saya sudah berniaga di sini lebih lapan tahun. Baru-baru ini, para peniaga di sini menerima notis untuk berpindah atas alasan keselamatan kerana kawasan kami berniaga terletak di tepi jalan besar, tetapi kami tidak tahu mahu pindah ke mana.

“Saya harap gerai kami dikekalkan, mungkin hanya perlu dipindahkan sedikit ke belakang kerana terlalu dekat dengan jalan raya. Inilah tempat kami mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak.

“Namun, jika terpaksa berpindah, kami akan akur, cuma harap kerajaan dapat sediakan tempat yang kekal untuk kami terus berniaga,” katanya.

Tom turut menyatakan penghargaan kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim, yang disifatkannya sebagai wakil rakyat yang prihatin.

“Datuk Juil pernah memberi bantuan kepada saya untuk membuka gerai di sini. Beliau memang seorang yang baik dan prihatin dengan keperluan rakyatnya,” katanya.

Sementara itu, Tohny Danip, 42, dari Kampung Gana, Papar, juga menjual daging salai berharap kerajaan akan menyediakan tapak baharu yang sesuai sekiranya diarahkan berpindah.

“Kami hanya bergantung kepada pendapatan berniaga tepi jalan. Jika berpindah, biarlah kami diberi tapak baharu yang ada kemudahan asas supaya kami dapat terus berniaga dengan selesa,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Datuk Juil sebagai wakil rakyat yang sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan penduduk.

“Semasa banjir baru-baru ini, beliau turun padang membantu penduduk dan mengagihkan bakul makanan. Saya akan terus menyokong kerajaan agar kesinambungan projek-projek pembangunan seperti lebuhraya Pan Borneo dapat diteruskan dan disiapkan dengan segera,” katanya.

Bagi Lisa Elmin, 45, dari Kampung Marahang Gana, beliau turut berharap peniaga kecil seperti mereka dikekalkan di kawasan sedia ada atau disediakan tapak khas yang lebih teratur.

“Saya sudah berniaga menjual sayur dan buah di sini sejak lapan tahun lalu. Sebenarnya saya lebih selesa berniaga di sini kerana dekat dengan tempat tinggal saya. Jika benar kami perlu berpindah, harap kerajaan sediakan tempat khusus untuk kami agar tidak perlu berpindah-pindah lagi.

“Kalau boleh, sediakan juga kemudahan awam seperti tandas, bekalan air dan elektrik supaya kami dapat berniaga dengan lebih baik,” katanya.

LEAVE A RESPONSE