Read Time:1 Minute, 16 Second
LABUAN : Seorang peniaga kedai hardware di kawasan bandar Labuan di sini dikenakan tindakan kompaun selepas didapati menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan semula bagi tujuan perdagangan, dalam satu operasi pemeriksaan pematuhan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, kesalahan itu diambil tindakan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 [Akta 71] hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh sepasukan empat anggota penguat kuasa KPDN WP Labuan di beberapa premis peruncitan termasuk kedai runcit dan kedai hardware sekitar bandar ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati peniaga berkenaan gagal memastikan alat timbang dan sukat yang digunakan telah melalui proses penentusahan semula seperti yang ditetapkan oleh perundangan.

“Kegagalan mematuhi keperluan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berpotensi menjejaskan ketelusan urus niaga serta menimbulkan keraguan pengguna terhadap ketepatan sukatan dalam urusan jual beli.
“Setiap alat timbang dan sukat yang digunakan untuk tujuan perdagangan wajib ditentusahkan secara berkala melalui pembaik alat timbang dan sukat yang dilesenkan oleh KPDN.
“Penentusahan ini amat penting bagi menjamin keadilan dalam transaksi perniagaan serta melindungi hak pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau turut menegaskan bahawa KPDN WP Labuan akan terus mempergiatkan pemeriksaan pematuhan dari semasa ke semasa melibatkan semua sektor peruncitan bagi memastikan undang-undang perdagangan sentiasa dipatuhi oleh peniaga.
” Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat berkaitan salah laku perdagangan digesa menyalurkannya secara rasmi kepada KPDN melalui saluran aduan yang disediakan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN LABUAN






