Read Time:1 Minute, 23 Second
LABUAN: Semua alat timbang dan sukat yang digunakan bagi tujuan perdagangan wajib ditentusahkan secara berkala melalui pembaik alat timbang dan sukat yang dilesenkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain, berkata pematuhan keperluan ini penting bagi memastikan ketepatan sukatan dalam urus niaga serta melindungi kepentingan pengguna.
“KPDN Labuan akan terus mempergiat pemeriksaan pematuhan dari semasa ke semasa di semua sektor peruncitan bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat berkaitan boleh menyalurkannya secara rasmi kepada KPDN melalui saluran aduan yang disediakan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan Ops Pantau 2026 – Alat Timbang dan Sukat, yang dijalankan oleh sepasukan anggota penguat kuasa Labuan, mendapati terdapat peniaga menggunakan alat timbang elektronik yang telah tamat tempoh sah.

Junaidah berkata seorang peniaga runcit di kawasan luar bandar Labuan telah dikenakan tindakan kompaun berhubung kesalahan itu.
“Kesalahan berkenaan dikesan hasil pemeriksaan Ops Pantau yang tertumpu kepada sektor peruncitan di kawasan luar bandar Labuan melibatkan premis kedai runcit serta gerai-gerai awam.
“Hasil pemeriksaan mendapati peniaga berkenaan menggunakan alat timbang jenis elektronik yang telah tamat tempoh sah penentusahan semula pada 9 Februari 2026. Alat timbang tersebut didapati masih digunakan bagi tujuan urus niaga perdagangan walaupun tempoh sah penentusahan telah berakhir, sekali gus menyalahi peruntukan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya.
Junaidah menjelaskan bahawa di bawah Seksyen 14 Akta Timbang dan Sukat 1972, mana-mana pihak yang menggunakan alat timbang atau sukat yang tidak ditentusahkan bagi tujuan perdagangan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.






