LABUAN : Seorang pengusaha pasar mini dikenakan kompaun selepas didapati gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual kepada pengguna dalam satu operasi di kawasan luar bandar di sini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan Junaidah Arbain berkata, peniaga berkenaan dikenakan kompaun atas kesalahan melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

Katanya, mengikut peruntukan akta yang sama, kesalahan berkaitan penandaan harga boleh dikenakan tindakan kompaun.
“Sekiranya disabitkan di mahkamah, individu boleh didenda sehingga RM50,000 manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Junaidah berkata, pihaknya menegaskan bahawa aspek perlindungan pengguna dan pematuhan undang-undang perdagangan diberi perhatian serius tanpa mengira lokasi premis perniagaan, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Sehubungan itu katanya, aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan serta mengamalkan urus niaga yang beretika. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN LABUAN






