Read Time:1 Minute, 39 Second
Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Golongan pengundi muda di Sabah berharap parti-parti politik memberi lebih banyak peluang kepada calon belia atau muda untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) akan datang, sejajar dengan peningkatan jumlah pengundi muda sejak pelaksanaan Undi18.
Seorang pengundi muda dari Pekan Tamparuli, Gary Stephen, 37, berkata penglibatan belia dalam kepimpinan politik semakin penting kerana mereka lebih dekat dengan realiti dan kehendak generasi masa kini.
“Sekarang umur 18 tahun sudah boleh mengundi, jadi patut juga orang muda diberi peluang memimpin. Mereka ada idea baharu dan semangat lebih tinggi untuk turun padang,” katanya.

Bagi Lissa Simon, 25, dari Kampung Bayangan, Keningau, kombinasi calon muda dan berpengalaman akan memberi keseimbangan dalam pentadbiran.

“Saya mahu lihat ramai calon muda dalam DUN (Dewan Undangan Negeri). Dengan gabungan pemimpin muda dan veteran, setiap keputusan boleh mengambil kira keperluan semua peringkat umur,” jelasnya.
Beliau turut berharap kerajaan penggal hadapan dapat melaksanakan program khusus untuk belia luar bandar seperti kursus kemahiran, kraftangan, jahitan, memasak atau pertanian moden.
“Ibu bapa di kampung ramai yang kurang berkemampuan untuk menghantar anak belajar ke peringkat tinggi walaupun mereka mempunyai keputusan cemerlang.
“Jika belia diberi latihan dan kemahiran, kemudian kursus keusahawanan, mereka tetap boleh berniaga dari kampung dengan sokongan bantuan kerajaan. Harapan saya, anak-anak muda jadi lebih berdaya saing walaupun berada di kampung,” katanya.
Sianah Janius, 40, dari Kampung Lungkidau, Ranau turut menyuarakan harapan agar calon belia diketengahkan kerana golongan itu lebih memahami isu semasa dan cabaran generasi kini.

“Ramai pengundi sekarang adalah orang muda. Mereka tahu apa generasi muda mahu dan boleh bersuara bagi pihak belia dalam DUN,” katanya.
Namun, beliau menekankan bahawa kerajaan baharu kelak perlu memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur asas, terutama jalan raya kampung.
“Bagi kami yang tinggal di kampung, jalan raya adalah keperluan utama. Jalan itu tempat kami mencari rezeki, menghantar hasil pertanian dan mendapatkan bekalan makanan. Di kampung kami, jalan sangat teruk dan petani susah mahu bawa hasil ke pekan,” katanya. – SABAH MEDIA