Read Time:1 Minute, 59 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Penduduk Tanjung Batu menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas pelbagai bentuk pembangunan yang telah dilaksanakan di bawah pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Unit Pembangunan Masyarakat (UPM) Tanjung Batu, Usman Madeaming berkata, banyak keperluan asas rakyat telah dibina termasuk pembinaan jalan raya, pemasangan lampu jalan, pembinaan jambatan, bantuan rumah di bawah program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) serta pelbagai kemudahan lain yang kini sedang berjalan dengan baik di kawasan berkenaan.

“Alhamdulillah, penduduk Tanjung Batu berterima kasih kepada kerajaan GRS pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor dan di kawasan ini, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy kerana hampir keseluruhan bentuk pembangunan yang kami perlukan telah dibawa ke kawasan ini.
“Namun begitu, masih ada keperluan tambahan terutama dari segi kemudahan pendidikan dan infrastruktur baharu,” katanya kepada Sabah Media.
Beliau berkata, antara projek yang amat dinantikan ialah pembinaan sebuah sekolah baharu berhampiran kawasan Pasir Putih, yang kini dalam perancangan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Kami dimaklumkan tanah bagi pembinaan sekolah itu telah dikenal pasti dan akan dibangunkan oleh KPM. Ini penting bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan jambatan Pasir Putih terutama pada waktu puncak sekolah,” ujarnya.
Selain itu, penduduk turut berharap agar rancangan pembinaan jambatan kedua yang menghubungkan Pasir Putih dengan Tanjung Batu Laut dapat direalisasikan, memandangkan projek itu sudah lama dibincangkan sejak era pentadbiran terdahulu.
Usman turut menggesa agar kerajaan negeri mempermudah proses pembinaan rumah SMJ bagi penduduk yang tidak memiliki tanah sendiri.
“Ramai yang layak menerima bantuan rumah tetapi tiada tanah milik sendiri. Jadi kami harap kerajaan dapat mencari kaedah terbaik, termasuk menggunakan tanah rizab atau memberikan geran kepada penduduk supaya mereka mempunyai hak milik dan nilai tanah yang sah,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mencadangkan supaya piawaian pemasangan lampu jalan dan sambungan elektrik di kawasan rumah atas air dapat dikaji semula kerana kekangan teknikal sering menyukarkan pelaksanaan projek di kawasan laut.
“Kebanyakan rumah di atas laut tidak boleh dipasang lampu solar atau sambungan elektrik kerana faktor SOP yang memerlukan tiang ditanam di tanah. Kami harap ada pendekatan baharu supaya kawasan ini tidak ketinggalan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kerajaan negeri atas usaha mengiktiraf beberapa penempatan di kawasan itu sebagai kampung rasmi, sekali gus membuka peluang kepada penduduk untuk mendapatkan geran tanah individu di masa hadapan.
“Dengan adanya geran, penduduk boleh memohon pinjaman, menghantar anak belajar dan meningkatkan taraf ekonomi keluarga tanpa terlalu bergantung kepada bantuan semasa,” jelasnya.






