Read Time:1 Minute, 19 Second
Oleh Silar Pinikit
KENINGAU: Penantian sekian lama penduduk Kampung Merampong untuk menikmati jalan konkrit berakhir apabila jalan tersebut kini telah siap sepenuhnya.
Ia sekali gus membawa perubahan besar kepada kehidupan dan memberi keselesaan kepada masyarakat kampung dan sekitarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Merampong, Said Siapan Judin berkata, kerja-kerja pembinaan dan naik taraf jalan ini bukan sahaja memberi manfaat besar kepada penduduk, malah turut mempercepatkan akses ke kawasan sekitar, memudahkan urusan harian, pergerakan penduduk, dan pengangkutan hasil tani.
“Usaha ini juga membuka peluang ekonomi baru dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Projek ini jelasnya, adalah sebahagian daripada komitmen penyandang Adun Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, yang tidak jemu-jemu memperjuangkan kemudahan asas untuk rakyat. Selaras dengan visi Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya lagi, projek ini bertujuan menyediakan prasarana asas yang selesa, selamat, dan berkualiti, sekali gus memperkukuhkan kesejahteraan rakyat luar bandar.
Pada masa sama Said Siapan mewakili penduduk kampung, merakamkan ucapan terima kasih yang mendalam kepada Datuk Robert atas keprihatinan yang ditunjukkan.
“Naik taraf jalan ini memudahkan akses ke sekolah, tempat kerja, pasar, dan yang paling penting, memudahkan pengangkutan hasil pertanian. Kami warga Kampung Merampong sangat menghargai sokongan ini” katanya.
Beliau juga berharap agar pembangunan sebegini terus dipertingkatkan bagi memastikan penduduk luar bandar tidak terpinggir daripada arus pembangunan negeri.
“Keprihatinan ini adalah bukti bahawa kerajaan mendengar suara rakyat dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” tambahnya.
Dengan adanya kemudahan ini, Kampung Merampong kini semakin berkembang pesat, memberi harapan baru dan menggambarkan kesungguhan pemimpin dalam memastikan tiada yang tertinggal dalam pembangunan.






