Read Time:1 Minute, 51 Second
Oleh Silar Pinikit
SOOK : Penduduk Kampung Malaing di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook terus menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan bakti penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook, Datuk Ellron Angin, yang disifatkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan mudah didekati.
Ketua Kampung Malaing, Jafar Rappan, berkata sepanjang tempoh lima tahun lalu, Ellron yang juga Menteri dalam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah banyak merancang dan melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada penduduk kampung, termasuk keperluan asas dan kesejahteraan komuniti setempat.
“Bagi Kampung Malaing, tiga unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) telah dibina bagi membantu keluarga yang benar-benar memerlukan.

“Selain itu, kerja-kerja pembinaan jalan konkrit masuk kampung, pembaikan jambatan kereta dan jambatan gantung juga telah dilaksanakan,” katanya.
Menurut Jafar, penduduk kampung amat berterima kasih apabila isu Tanah Adat yang melibatkan kawasan di bawah anak syarikat Yayasan Sabah telah berjaya diselesaikan, sekaligus mengembalikan hak pemilikan kepada penduduk asal Kampung Malaing.
“Perkara itu amat menggembirakan penduduk kerana ia telah lama menjadi kebimbangan kami. Datuk Ellron bukan sahaja turun padang tetapi benar-benar membantu menyelesaikan masalah rakyat,” jelasnya semasa Program Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Malaing, semalam.
Beliau turut menyifatkan Ellron sebagai seorang pemimpin yang tidak membezakan suku atau kepercayaan, malah sering meluangkan masa bersama masyarakat akar umbi.
“Beliau memang tinggal di Sook dan sentiasa mudah ditemui oleh penduduk pada bila-bila masa,” tambahnya.
Sementara itu Ellron berkata program berkenaan menjadi wadah penting untuk beliau mendengar sendiri suara dan pandangan rakyat daripada Kampung Malaing serta Kampung Karamatoi Ulu.
Menurutnya, di bawah kepimpinan Kerajaan GRS, pelbagai kemudahan telah disalurkan termasuk pembinaan jalan konkrit, pelaksanaan Program Rumah SMJ, pembaikan jambatan gantung dan jambatan kereta, serta pemberian Smart TV kepada sekolah-sekolah di sekitar DUN Sook.
“Kerajaan Negeri turut menyalurkan pelbagai bantuan kepada pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian di IPTA dan IPTS, termasuk dana kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di setiap sekolah. Ini bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menyeru agar warga Pusat Daerah Mengundi (PDM) Malaing terus bersama dan menyokong Kerajaan GRS demi kestabilan, kemajuan serta masa depan yang lebih baik untuk rakyat Sook.
Turut hadir, Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Sook, Abraham Angkimo, serta jentera PDM Malaing dan penduduk kampung. – SABAH MEDIA






