Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Penduduk harap GRS terus tadbir, banyak bantu kampung dan rakyat akar umbi

Read Time:1 Minute, 37 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

SEBATIK: Penduduk akar umbi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik menzahirkan harapan agar kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus diberi mandat mentadbir negeri pada penggal akan datang, susulan pelbagai inisiatif pembangunan dan bantuan yang telah dirasai secara langsung di peringkat kampung.

Ketua Kampung Murut, Staincen Kari, berkata pelbagai kemudahan asas telah dinaik taraf sejak GRS mengambil alih pentadbiran negeri, termasuk pemasangan lampu jalan, penambahbaikan jalan raya serta pembinaan rumah di bawah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kalau di tempat saya di Kampung Murut, dalam kawasan DUN Sebatik, ada kira-kira 10 buah rumah SMJ telah siap. Saya sendiri sebagai Ketua Kampung lihat banyak perubahan yang berlaku. Wakil rakyat juga kerap turun padang membantu penduduk, terutama dalam hal kebajikan orang sakit dan keperluan kampung,” katanya kepada Sabah Media di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Faedah Bersama Murut Tenggara Kalabakan berkata, walaupun pembangunan dijalankan secara berperingkat, manfaatnya tetap dirasai oleh masyarakat setempat.

“Setakat ini, semuanya baik walaupun pembahagian pembangunan bertahap, tetapi masih sampai kepada sasaran. Saya berharap kerajaan GRS akan terus memerintah kerana banyak yang telah dibantu,” katanya.

Menurutnya, tumpuan pada masa depan perlu diberikan kepada peningkatan infrastruktur jalan raya, khususnya di kawasan pedalaman yang masih menggunakan jalan gravel.

“Kalau boleh, permohonan akan datang biarlah jalan gravel di kampung kami dinaiktaraf menjadi jalan turap. Itu keperluan utama kami sekarang,” katanya lagi.

Mengulas secara umum, Staincen menekankan bahawa kestabilan politik adalah asas penting untuk memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan secara menyeluruh dan berkesan.

“Bagi saya, paling penting ialah kestabilan politik. Kalau keadaan politik stabil, semua program pembangunan dan kebajikan rakyat boleh dilaksanakan dengan lebih baik,” ujarnya.

Dalam aspek pendidikan dan sosial, katanya, kerajaan GRS turut menunjukkan keprihatinan melalui pelbagai bentuk bantuan kepada pelajar dan belia.

“Bantuan kepada budak sekolah dan pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran memang ada, begitu juga sokongan terhadap kegiatan sukan. Dari segi pekerjaan pun lebih mudah sekarang, kerajaan lebih mesra berbanding dahulu,” katanya.

LEAVE A RESPONSE