Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Penduduk diingatkan berwaspada kemungkinan banjir – Ruslan

Read Time:1 Minute, 21 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

BEAUFORT: Penduduk di kawasan rendah khususnya di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir susulan keadaan cuaca tidak menentu yang melanda kawasan itu sejak beberapa hari lalu.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam, berkata beberapa kawasan dilaporkan telah mengalami banjir beberapa kali dalam tempoh seminggu, manakala paras air di beberapa kampung lain masih berada pada tahap membimbangkan walaupun menunjukkan tanda-tanda surut.

Menurut beliau, antara kawasan terjejas termasuk Binunuk, Balibata, Kampung Melati, Luagan, Jalan Suasa, Jalan Bangkalalak serta beberapa kampung lain yang kini ditenggelami air.

“Pegawai-pegawai di lapangan termasuk daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) sedang giat menjalankan pemantauan.

“Selain itu anggota terlibgat turut membantu memindahkan Ketua Isi Rumah (KIR) yang kediaman mereka telah ditenggelami air dan tidak lagi selamat untuk diduduki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau beberapa kawasan sekitar Kampung Bukau di sini pada Jumaat.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, pihaknya juga telah meminta untuk mengaktifkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon sekiranya keadaan memerlukan, bagi memastikan keselamatan penduduk yang terpaksa dipindahkan.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua penduduk khususnya yang tinggal di kawasan rendah agar sentiasa peka dengan perkembangan semasa, mematuhi segala arahan pihak berkuasa dan bersedia untuk berpindah sekiranya diminta berbuat demikian.

“Pastikan dokumen-dokumen penting seperti kad pengenalan, sijil kelahiran dan dokumen rasmi lain dibawa bersama dan diselamatkan lebih awal,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pemantauan akan diteruskan secara berterusan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin sepanjang tempoh cuaca tidak menentu ini. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE