Read Time:2 Minute, 55 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas yakin kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited dalam menyelesaikan pelbagai isu rakyat termasuk bekalan air, kemudahan jalan raya serta masalah penempatan setinggan yang telah lama dihadapi.
Menurut Penyelia Kemajuan Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Apas, Mohd. Hafiz Rustam, kepimpinan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menunjukkan keprihatinan berterusan terhadap keperluan rakyat dengan pelaksanaan pelbagai projek menaik taraf infrastruktur di kawasan berkenaan.
“Kalau kita lihat, setiap tahun memang ada peningkatan kemudahan jalan kampung, termasuk jambatan yang dibaik pulih serta projek-projek naik taraf jalan konkrit di beberapa kampung utama.
“Beliau (Datuk Nizam) sangat konsisten memastikan kemudahan asas seperti jalan, jambatan dan bekalan air dapat dinikmati dengan lebih baik oleh penduduk kampung,” kepada Sabah Media baru-baru ini.
Mohd. Hafiz berkata, antara isu utama yang terus diberikan perhatian ialah bekalan air bersih, dengan pembinaan tujuh tangki statik dan beberapa perigi air tawar di kampung seperti Apas Parit, Batu Payung, Sungai Apas dan Wakuba, yang membantu mengurangkan kesukaran penduduk.
“Masalah air di DUN Apas ini memang sudah lama, tetapi sejak tangki statik diwujudkan, banyak kawasan mula menikmati bekalan air yang lebih stabil.
Bila empangan Chinta Mata dan satu lagi empangan di Balung siap nanti, Insya-Allah isu air ini akan selesai sepenuhnya,” katanya.
Selain itu, beberapa jalan utama kampung turut dinaik taraf termasuk di Kampung Titingan, Kampung Hidayat Batu 4, Kampung Tinagat dan Kampung Inderasabah, bagi meningkatkan keselesaan dan akses penduduk luar bandar.
Mohd. Hafiz turut memaklumkan bahawa beberapa jambatan rosak telah dibaiki, antaranya jambatan lama di Kampung Apas Parit yang kini dinaik taraf kepada jambatan separa konkrit dan besi dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya.
Beliau berkata, usaha GRS melalui inisiatif wakil rakyatnya turut tertumpu kepada penyelesaian isu penempatan setinggan yang sering dikaitkan dengan masalah keselamatan dan ketiadaan kemudahan asas.
“Masalah setinggan ini timbul apabila ada kawasan kosong yang dijadikan penempatan tanpa kebenaran. Ia menyukarkan penyediaan kemudahan seperti bekalan elektrik dan air.
“Sebab itu antara langkah penting ialah mewartakan dan mewujudkan kampung baharu supaya penempatan lebih tersusun dan sah dari segi undang-undang.
“Setakat ini, sembilan kampung baharu telah diluluskan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, termasuk Kampung Kuala Balung, Kampung Tongos Inderasabah, Kampung Pangkalan Inderasabah, Kampung Mulia Batu 4 dan Kampung Titingan Laut, manakala dua kampung telah pun diwartakan secara rasmi,” ujarnya.
Selain isu asas, katanya kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai projek pembangunan sosial dan ekonomi di DUN Apas termasuk Projek tebatan banjir di kawasan Sungai Tawau dan Batu 4; Pembinaan semula masjid seperti Masjid Tawfiq Al-Hidayat dan Masjid Nurul Awwal; Pembangunan persisiran pantai Tinagat dan Batu Payung sebagai pusat pelancongan baharu dan Projek Perumahan Mesra Rakyat SMJ yang telah menyiapkan 60 unit rumah untuk golongan berpendapatan rendah.
Bagi memperkukuh ekonomi penduduk, pelbagai kursus kemahiran turut dijalankan dengan kerjasama MARA, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia Sabah dan Kolej Komuniti, bagi membantu penduduk menjana pendapatan melalui kemahiran baharu.
Dalam pada itu, Mohd. Hafiz berkata, keberkesanan pelbagai projek pembangunan yang dijalankan membuktikan keupayaan GRS dalam melaksanakan dasar berpaksikan rakyat.
“Penduduk di Apas amat menghargai usaha Datuk Nizam. Harapan kita supaya beliau terus diberi mandat sebagai ADUN Apas bagi penggal akan datang agar beliau dapat meneruskan khidmat kerana banyak perubahan positif sudah dirasai di sini,” katanya.
DUN N.68 Apas meliputi keluasan 370 kilometer persegi, merangkumi tujuh mukim Titingan, Tawau Lama, Batu 4, Tinagat, Apas, Wakuba dan Inderasabah dengan 31 kampung di bawah pentadbiran dan lebih 32,500 pengundi berdaftar setakat Oktober 2025.






