Read Time:1 Minute, 5 Second
KOTA KINABALU : Pendekatan dua hala dengan pesakit atau pelanggan di semua fasiliti kesihatan di negeri ini perlu terus ditingkatkan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan lebih difahami dan efektif.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Julita Majungki berkata, pendekatan itu penting khususnya dalam menangani kekangan sumber dan cabaran logistik yang luas di Sabah.
“Sistem seperti sistem zon dan pengagihan janji temu digunakan bagi menguruskan pesakit dari kawasan bandar dan luar bandar dengan lebih efisien.
“Tujuan pendekatan dua hala ini adalah supaya para pesakit memahami sistem yang digunakan oleh semua fasiliti kesihatan dibawah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” kata.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media selepas menyampaikan amanat menteri dibawah kementeriannya di sini pada Khamis.
Julita berkata, sistem pengagihan janji temu itu termasuklah pengumpulan janji temu pagi dan petang bagi memastikan mereka yang memerlukan perhatian khusus dapat dilayani dengan baik.
Menurutnya, meskipun sistem itu sedang dilaksanakan, masih terdapat kekeliruan di kalangan pesakit yang masih menunggu giliran atau tidak memahami mekanisme pengagihan waktu.
“Saya difahamkan, pihak JKNS menekankan bahawa jabatan itu sedang berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki keadaan dan memastikan perkhidmatan kesihatan dapat disampaikan dengan optimum meskipun sumber yang terhad,” katanya
Menurutnya, pendekatan itu juga diharap dapat meningkatkan kesefahaman antara pesakit dan pihak hospital, serta membantu mengurangkan kesesakan dan menambah keberkesanan pengurusan pesakit di Sabah. – SABAH MEDIA






