Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Pencawang elektrik baharu di Kg Takis dijangka beroperasi sepenuhnya April ini


Read Time:1 Minute, 38 Second

PAPAR: Ahli Parlimen Papar, Armizan Mohd Ali, meninjau projek pembinaan pencawang elektrik baharu di Kampung Takis yang telah siap pada 26 Februari lalu, sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid As Sobirin, di sini, hari ini.

Beliau berkata, projek itu kini berada dalam fasa pemindahan beban daripada pencawang asal ke pencawang baharu dan dijangka beroperasi sepenuhnya selewat-lewatnya pada awal April 2026.

Menurutnya, pembinaan pencawang tersebut dilaksanakan susulan aduan penduduk mengenai masalah kesusutan voltan (voltage drop) di bawah paras nominal 216 volt yang telah lama menjejaskan kediaman serta premis perniagaan di sekitar Kampung Takis.

“Keadaan ini memberi kesan kepada kelancaran penggunaan elektrik harian, malah dalam beberapa keadaan menyebabkan kerosakan peralatan elektrik selain meningkatkan risiko berlakunya litar pintas yang boleh mengganggu aktiviti perniagaan dan urusan harian penduduk,” katanya.

Beliau berkata, dengan beroperasinya pencawang baharu itu kelak, isu berkenaan dijangka dapat diatasi sekali gus memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil kepada penduduk setempat.

“Saya berharap penduduk di kawasan ini dapat menyambut Aidilfitri tahun ini dengan bekalan elektrik yang lebih stabil,” katanya.

Armizan berkata, susulan beberapa aduan berkaitan masalah sama di beberapa kampung dalam Parlimen Papar, pihak Sabah Electricity (Sabah Electricity) turut mengambil langkah proaktif melaksanakan projek pembinaan pencawang elektrik baharu di kawasan yang dikenal pasti mengalami gangguan bekalan yang ketara.

Katanya, beliau sendiri turun padang bersama kakitangan Sabah Electricity bagi meninjau pelaksanaan projek-projek tersebut serta memohon agar pembinaannya dapat disegerakan dan disiapkan mengikut jadual.

“Alhamdulillah, pada tahun lalu, beberapa projek pencawang elektrik baharu di kawasan Papar telah siap dan mula beroperasi, termasuk di Kampung Beringgis, Kampung Sekayan, Kampung Kawakahan dan Kampung Sagang,” katanya.

Beliau turut menggesa penduduk yang berdepan masalah bekalan elektrik supaya menyalurkan aduan rasmi kepada pihak Sabah Electricity atau Pejabat Parlimen Papar bagi membolehkan semakan serta tindakan lanjut diambil.

Armizan turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Electricity atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan keperluan asas rakyat seperti bekalan elektrik sentiasa diberi perhatian.

Menurutnya, usaha berterusan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kemudahan infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat.

LEAVE A RESPONSE