Read Time:1 Minute, 50 Second
KOTA KINABALU: Tuduhan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal bahawa Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor sebagai ‘penjual ubat’ disifatkan sebagai cubaan mengalih perhatian daripada kegagalan pentadbiran Warisan yang masih segar dalam ingatan rakyat.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Shafie boleh menuduh apa sahaja, namun rakyat sudah tahu siapa yang sebenarnya menjual janji dan siapa yang bekerja dalam diam membawa hasil kepada Sabah.
“Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan slogan kosong seperti digambarkan pihak pembangkang, sebaliknya satu pelan pembangunan negeri yang telah menunjukkan kesan ketara dalam tempoh singkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nizam, di bawah kepimpinan Hajiji, hasil negeri Sabah mencapai hampir RM7 bilion pada tahun 2024 hasil daripada reformasi fiskal dan pentadbiran baharu yang memastikan kewangan negeri ditadbir dengan baik.
“Pada masa yang sama, pelaburan bernilai RM11.37 bilion turut direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, menunjukkan keyakinan pelabur terhadap kepimpinan kerajaan negeri,” katanya.
Mengulas isu air yang dijadikan modal politik oleh Warisan, beliau menjelaskan bahawa kerajaan GRS kini sedang melaksanakan 18 projek infrastruktur air di seluruh negeri.
“Antara projek utama ialah Empangan Air Tawau, Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon 2 di Papar, dan Projek Menaiktaraf Muka Sauk Kabang yang dijangka siap tahun hadapan. Ini adalah usaha jangka panjang untuk memastikan akses air bersih yang mampan, bukan janji ‘setahun selesai’ seperti yang pernah dicanang Warisan,” tegasnya.
Beliau turut menyatakan, pelan SMJ juga telah memperkasa pembangunan luar bandar melalui projek menaik taraf jalan dan pembinaan baharu bagi membuka akses ke kawasan pedalaman serta mempercepat pertumbuhan ekonomi.
“Program Rumah Mesra SMJ pula telah menyiapkan lebih 7,000 unit rumah untuk rakyat, manakala skim Bantuan Tunai SMJ diperluas bagi membantu golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Menurut Nizam, semua kejayaan itu membuktikan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Hajiji bekerja berasaskan fakta dan hasil, bukan retorik politik.
“Rakyat tidak lupa bahawa ketika Warisan berkuasa, pelaburan besar hanya diumumkan di atas kertas, krisis air semakin teruk dan banyak projek rakyat terbengkalai selepas dua tahun mentadbir,” katanya.
“GRS tidak menjual ubat. GRS sedang menyembuhkan kesan daripada pentadbiran lama yang gagal. Di bawah kepimpinan Hajiji, Sabah bergerak dengan tenang dan berfokus pada kerja sebenar, bukan sandiwara politik,” tambahnya.






