Read Time:1 Minute, 32 Second
KOTA KINABALU: Penduduk ibu negeri kini menikmati persekitaran yang lebih selamat dan selesa selepas kerajaan melaksanakan beberapa projek pencahayaan di kawasan-kawasan gelap.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api, Datuk Seri Christina Liew, berkata, usaha pemasangan lampu baharu telah dijalankan sejak tahun lalu bagi mengurangkan risiko jenayah dan kegiatan tidak bermoral serta memastikan keselamatan warga kota pada waktu malam.
“Antara lokasi yang sudah mendapat manfaat ialah tempat letak kereta terbuka berhampiran Pasar Besar Kota Kinabalu, yang kini dilengkapi lampu baharu untuk pencahayaan lebih baik kepada pengunjung dan peniaga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media pada Jumaat selepas melakukan lawatan ke pasar tersebut.
Selain itu, jejambat Karamunsing kini lebih terang selepas lampu sodium lama digantikan dengan lampu LED moden, sekali gus memudahkan pemandu melihat laluan dengan lebih jelas pada waktu malam.
Christina menjelaskan bahawa projek pencahayaan ini turut meliputi kawasan lain seperti Asia City, Api-Api Centre, Taman Sena, Taman Nibung dan Taman Bukit Temasu, bertujuan meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan komuniti bandar.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 500 lampu LED baharu telah dipasang di dalam Pasar Besar Kota Kinabalu, termasuk di bahagian pakaian, pasar ikan dan medan selera, sekali gus memberikan suasana lebih terang, bersih dan selesa kepada pengunjung dan peniaga.
“Pasar kini menjadi lokasi tumpuan lebih menarik untuk penduduk tempatan dan pelawat,” katanya.
Selain pencahayaan, Christina berkata kerajaan juga akan menyelesaikan masalah bekalan air di pasar melalui pembinaan loji penyahgaraman kecemasan di tingkat bawah bangunan, yang mampu menapis air laut untuk dijadikan air bersih sekiranya berlaku gangguan bekalan.
Projek baik pulih lain yang sedang dilaksanakan termasuk penurapan semula jalan perumahan, pelebaran sistem perparitan, serta pembaikan laluan kaki lima dan lorong belakang di kawasan komersial seperti Kompleks Sinsuran, Kompleks Segama, Kampung Air dan Bandaran Berjaya.
“Kerjasama jabatan dan agensi kerajaan dalam projek pembangunan di Api-Api amat dihargai dan memberi manfaat besar kepada penduduk,” tambahnya.






