Read Time:1 Minute, 31 Second
SANDAKAN: Dalam kesibukan negeri ini yang bakal berdepan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU DU 17), seorang pemuda di sini pula bekerja keras untuk menunaikan ‘amanah’ yang dipikul untuk mengurus jenazah.

Biarpun sudah lapan tahun melakukan kerja amal menerusi perkhidmatan van secara percuma, tempoh itu tidak mematahkan semangat Yunizam Yusop untuk berbakti kepada masyarakat.
Memulakan inisiatif itu sejak 2018, Yunizam yang terkenal dengan panggilan ‘abam botak’ kini menyediakan empat van jenazah selain sebuah kereta pacuan empat roda susulan permintaan yang semakin meningkat.
Ketika ditemui, Yunizam berkata, selain di seluruh daerah dalam negeri, beliau yang dibantu pasukannya terdiri daripada anak muda juga membantu menghantar jenazah ke negara Brunei baru-baru ini.
Katanya, mereka mengambil masa selama 16 jam perjalanan untuk menghantar jenazah ke negara berkenaan daripada Hospital Duchess of Kent.
“Boleh dikatakan hampir setiap hari kami menerima panggilan untuk meminta bantuan. Sebahagian besarnya adalah penduduk yang tidak bekemampuan untuk mendapatkan perkhidmatan van jenazah sedia ada.
“Adakalanya kami bantu sehingga lima jenazah sehari. Biarpun letih, tapi ia bukan halangan kepada kami meneruskan kerja amal ini,” katanya.
Yunizam sebelum ini dikenali kerana menyediakan perkhidmatan kereta percuma ke hospital dan beroperasi sejak 2012.
Pemuda yang bekerja sendiri itu juga aktif dalam aktiviti kesukarelawanan di daerah ini termasuk menyediakan makanan kepada gelandangan dan membantu menyediakan kemudahan pendidikan kepada kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.
Yunizam berkata, sepanjang tempoh dia melakukan kerja amal itu juga, beliau dan pasukannya banyak belajar perkara baru terutama apabila membantu penduduk miskin.
“Tidak semua orang bernasib baik seperti kita. Bila bercakap bab kematian, tiada orang tahu bila ia berlaku, sebab hal ini tanpa kita bersedia.
“Saya tekad meneruskan pekerjaan ini tanpa mengira waktu dan batas agama. Apa yang penting, mereka yang susah dapat dibantu kerana tanggungjawab kita sebagai orang Muslim untuk membantu sesama insan,” katanya.






