Read Time:1 Minute, 18 Second
KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Kerajaan Negeri Sabah yang membantah permohonan penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada Sabah.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, sebagai generasi muda yang bakal mewarisi masa depan negeri ini, usaha mempertahankan hak Sabah bukan sekadar isu politik, sebaliknya soal keadilan serta penghormatan terhadap semangat Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah menunjukkan komitmen yang jelas dan konsisten dalam memastikan proses perundingan serta libat urus dengan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan secara profesional, telus dan berlandaskan prinsip undang-undang.
“Pada masa sama, kerajaan negeri juga tegas memastikan keputusan mahkamah dihormati serta dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pendekatan matang dan berprinsip yang diambil kerajaan negeri wajar mendapat sokongan semua pihak tanpa mengira latar belakang politik kerana isu berkenaan melibatkan kepentingan jangka panjang rakyat Sabah.
Katanya, Pemuda Gagasan Rakyat berpandangan sebarang usaha yang boleh melambatkan pelaksanaan keputusan mahkamah tidak akan membantu mempercepatkan penyelesaian isu berkenaan.
“Sebaliknya, apa yang diperlukan ketika ini ialah komitmen bersama untuk mencapai penyelesaian yang adil, munasabah serta menghormati hak Sabah sebagaimana yang termaktub dalam kerangka Perlembagaan,” katanya.
Azrul turut menyeru semua pihak di Sabah agar bersatu dalam memperjuangkan isu berkenaan kerana hak Sabah adalah hak rakyat negeri ini.
“Perjuangan ini perlu dilihat sebagai usaha bersama demi memastikan masa depan Sabah terus terpelihara,” katanya.
Beliau menegaskan Pemuda Gagasan Rakyat akan terus berdiri teguh bersama kerajaan negeri dalam mempertahankan hak serta kepentingan Sabah.






