Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Pemuda Gagasan Rakyat Sindumin bidas ketidakkonsisten Pemuda DAP Sabah


Read Time:1 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin menegur sikap tidak konsisten Ketua Pemuda DAP Sabah  yang mempersoalkan pelantikan Datuk Dr Yusof Yacob sebagai Pengerusi Sabah Development Bank (SDB).

Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sindumin Walter @ Fikrie Antahar berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Chan Loong Wei disifatkan bersifat spekulatif dan mencerminkan amalan politik persepsi, selain menunjukkan ketidakkonsistenan pendirian.

Menurut beliau, prinsip yang pernah dipertahankan DAP sebelum ini seharusnya diguna pakai secara adil dan konsisten.

Katanya, ketika era pemerintahan Pakatan Harapan 1.0, pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dipertahankan atas dasar menghormati proses undang-undang walaupun berdepan pertuduhan mahkamah.

“Jika ketika itu prinsip kepercayaan kepada proses kehakiman dijadikan sandaran, mengapa hari ini prinsip sama dipersoalkan? Sikap ini jelas memperlihatkan amalan dwi standard dan hipokrasi politik,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Walter @ Fikrie menegaskan, politik yang digerakkan atas sentimen dan persepsi semata-mata tidak membawa manfaat kepada rakyat Sabah, malah berpotensi menjejaskan kepercayaan terhadap institusi serta kestabilan pembangunan negeri.

Beliau berkata, Pemuda DAP Sabah seharusnya tampil dengan kritikan yang berfakta, adil dan berprinsip, bukannya memilih isu mengikut kepentingan politik semasa.

Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Sindumin menyeru semua pihak mengamalkan politik matang dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat serta masa depan Sabah.

LEAVE A RESPONSE