Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Pemuda Gagasan Rakyat adakan sesi libat urus tangani isu pelajar tercicir


Read Time:1 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU : Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan berkaitan dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menangani isu hampir 800 pelajar Sabah yang dilaporkan gagal mendaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) akibat kekangan kewangan.

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Azrul Ibrahim berkata, sesi libat urus tersebut bertujuan mengenal pasti kelemahan dalam aspek pelaksanaan, penyampaian serta pemantauan bantuan pendidikan yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri Sabah.

Katanya, ini adalah bagi memastikan tiada pelajar tercicir hanya kerana masalah teknikal atau kekurangan maklumat.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Sabah sebenarnya telah memperuntukkan pelbagai bentuk bantuan pendidikan, termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) yang menyediakan RM2,000 kepada pelajar ijazah sarjana muda dan RM1,500 bagi diploma, asasi serta matrikulasi, selain peruntukan biasiswa hampir RM138 juta tahun ini, tertinggi dalam sejarah negeri.

“Isu yang berlaku bukan semata-mata soal ketiadaan bantuan, tetapi lebih kepada kelemahan sistem penyampaian dan pelaksanaan di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, Azrul berkata, pihaknya menggesa agar bantuan pendidikan disalurkan lebih awal, khususnya sebelum atau semasa proses pendaftaran IPT, selain pendekatan lebih proaktif dengan turun ke lapangan terutama di kawasan pedalaman.

Beliau turut menekankan keperluan agensi berkaitan mengenal pasti pelajar yang tercicir maklumat atau menghadapi kesukaran dalam proses permohonan supaya intervensi awal dapat dilaksanakan.

“Tiada anak Sabah sepatutnya tercicir daripada melanjutkan pengajian hanya kerana kelemahan sistem. Pendidikan adalah pelaburan masa depan negeri dan tanggungjawab ini mesti dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda Gagasan Rakyat menegaskan komitmen mereka untuk terus memperjuangkan akses pendidikan yang adil dan menyeluruh demi pembangunan modal insan Sabah. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE