Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Pembukaan resort bertaraf antarabangsa bakal pacu ekonomi Sabah

Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Pembukaan resort baharu bertaraf antarabangsa Club Med Borneo di Kuala Penyu dijangka memberi impak signifikan kepada ekonomi setempat, termasuk menyediakan lebih 300 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, menyambut baik perancangan tersebut sebagai perkembangan positif dalam usaha memperkukuh dan memperkasa sektor pelancongan di Sabah, khususnya di daerah Kuala Penyu yang kaya dengan tarikan alam semula jadi.

“Pembukaan resort bertaraf antarabangsa itu dijangka memberi impak signifikan kepada ekonomi setempat, termasuk menyediakan lebih 300 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

“Selain itu, kakitangan yang diambil bekerja turut akan diberikan latihan kemahiran secara bertauliah, sekali gus meningkatkan tahap profesionalisme serta kebolehpasaran tenaga kerja tempatan dalam industri pelancongan dan hospitality,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan kunjungan hormat daripada Club Med dan Golden Sands Beach Resort City dalam satu pertemuan yang berlangsung di pejabat beliau pada Jumaat.

Dalam pertemuan tersebut, Masidi telah diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Club Med (Asia), Rachael Harding dan Pengarah Urusan Golden Sands Resort City Peter Wong Leong Siang mengenai perancangan pembukaan sebuah resort Club Med Borneo baharu di Kuala Penyu yang dijadualkan mula beroperasi pada September ini.

Menurut Masidi, inisiatif tersebut selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, yang menekankan pembangunan ekonomi mampan, pemerkasaan modal insan, serta peningkatan penyertaan rakyat tempatan dalam sektor strategik negeri.

Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Sabah untuk terus menyokong pelaburan berkualiti yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara inklusif dan mampan.

LEAVE A RESPONSE