Read Time:1 Minute, 14 Second
LABUAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat pemborong yang turut membekalkan barang kawalan berjadual (CSA) susulan penugasan Ops Pantau Bekalan yang dijalankan semalam.
Tindakan tersebut diambil selepas pemeriksaan oleh pasukan penguat kuasa yang mendapati syarikat berkenaan gagal menyelenggara buku stok pembelian dan penjualan barang kawalan berjadual melibatkan minyak masak dan gula.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan Junaidah Arbain berkata, pemeriksaan lanjut mendapati syarikat tersebut tidak merekodkan butiran pembelian dan penjualan secara lengkap seperti tarikh transaksi, kuantiti, harga, serta nama dan alamat pembeli dan pembekal.
Katanya, perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], khususnya di bawah Peraturan 13(1).
“Para peniaga berlesen yang berurusan dengan barang kawalan adalah diwajibkan untuk menyelenggara buku stok dengan teratur dan dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Kegagalan mematuhi peruntukan ini merupakan satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Junaidah berkata, jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta, dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
Menurutnya, KPDN Labuan akan terus mempergiat pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang berkaitan barang kawalan sentiasa dipatuhi.
“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya. – SABAH MEDIA






