Read Time:1 Minute, 18 Second
SANDAKAN: Pembinaan jambatan sementara di Kampung Gelam Laut dijangka memberi kelegaan kepada penduduk yang selama ini berdepan kesukaran untuk keluar masuk kampung setiap kali air pasang.
Menurut penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, projek pembinaan jambatan kayu sepanjang kira-kira 130 kaki itu dilaksanakan hasil perbincangan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ketua kampung bagi mencari penyelesaian segera kepada masalah yang telah lama dihadapi penduduk.
“Selama ini, apabila air pasang, penduduk terpaksa meredah air untuk keluar masuk kampung. Ada yang perlu membuka kasut, dan bagi warga emas atau penduduk yang sakit, keadaan ini sangat menyukarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui Sabah Media selepas melakukan lawatan ke kampung tersebut.
Jelas George, pembinaan jambatan sementara itu dijangka siap dalam tempoh dua minggu dan akan memberi manfaat kepada semua penduduk kampung.
“Penduduk sudah mula berasa lega dengan kemudahan ini. Kita berharap pada masa akan datang jambatan ini dapat dinaik taraf menjadi jambatan konkrit bagi memberi keselesaan jangka panjang kepada mereka,” tambahnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atas kerjasama dalam menjayakan projek berkenaan.
“Bagi saya, jambatan ini bukan sekadar kemudahan fizikal, tetapi simbol hubungan antara kampung dan kerajaan. Melalui perbincangan bersama, kita dapat mencari jalan penyelesaian terbaik untuk keperluan masyarakat,” katanya.
Katanya lagi, Kampung Gelam Laut memerlukan tiga jambatan utama bagi melancarkan pergerakan penduduk, dan jambatan yang baru dibina ini merupakan yang pertama daripada tiga yang dirancang.
“Saya akan terus berusaha untuk memastikan dua lagi jambatan yang dirancang dapat direalisasikan demi keselesaan penduduk kampung,” katanya.






