Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Pemberian Khas Sabah dinaikkan kepada RM600 Juta, bukti komitmen kukuh Kerajaan MADANI

Read Time:2 Minute, 3 Second

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan meneruskan komitmen memperkukuh hak negeri Sabah apabila meningkatkan kadar Pemberian Khas Persekutuan kepada RM600 juta pada tahun ini iaitu sekali ganda daripada kadar terdahulu sebanyak RM300 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan itu hasil kajian semula bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah, yang dilaksanakan dan diwartakan pada tahun 2025 mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kajian tersebut turut mengambil kira kedudukan kewangan negara serta keperluan menampung kos perkhidmatan di Sabah untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya lagi, pembayaran penuh sebanyak RM600 juta telah disalurkan kepada Kerajaan Sabah pada 10 September lalu.

“Sejak kali terakhir disemak pada 2019, kadar Pemberian Khas Sabah telah menunjukkan peningkatan konsisten hasil rundingan dua hala iaitu bermula 2019 sebanyak RM53.4 juta, diikuti 2022 sebanyak RM125.6 juta; RM300 juta pada 2023 dan RM600 juta pad 2025,” katanya

Beliau berkata demikian ketika memberikan penerangan terhadap pendirian Kerajaan Madani berhubung Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Perdana Menteri berkata, peningkatan berterusan ini memperlihatkan keazaman Kerajaan MADANI untuk memastikan Sabah menikmati agihan kewangan yang lebih adil dan seimbang, sesuai dengan tanggungjawab negeri yang luas serta cabaran geografi yang unik.

Selain pemberian khas, Kerajaan Persekutuan terus memperkukuh pelaburan pembangunan di Sabah.

Anwar berkata, perbelanjaan keseluruhan untuk negeri itu meningkat daripada RM13 bilion pada 2022 kepada RM14 bilion bagi tahun 2023 dan 2024, dan dijangka mencecah RM17 bilion bagi tahun 2025 dan 2026.

Jumlah itu katanya adalah melebihi hasil yang dikutip di Sabah, sekitar RM10 bilion setahun, termasuk royalti petroleum dan cukai-cukai lain.

“Ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk menyalurkan lebih banyak dana ke negeri ini berbanding jumlah hasil yang diterima,” katanya.

Dalam pada itu, bagi memastikan manfaat terus dirasai rakyat, Perdana Menteri berkata, Sabah menerima peruntukan pembangunan tertinggi dalam Belanjawan 2026, hampir RM7 bilion, meliputi pelbagai projek strategik.

Antaranya, termasuklah Pusat Jantung Sabah di Kota Kinabalu (RM125 juta) ; Jalan Kalabakan–Simanggaris (RM416 juta) dan Talian Penghantaran Elektrik Southern Link Fasa 1A (RM200 juta)

Selain itu katanya, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B yang bernilai RM14 bilion sedang diteruskan, manakala projek bekalan air Sabah bernilai RM1 bilion dijangka siap pada tahun depan.

Dalam sektor minyak dan gas, Anwar berkata, Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai pada 2021 kini menunjukkan hasil positif dengan kontraktor Sabah memperoleh projek bernilai RM2 bilion pada tahun 2024.

Menurutnya, Kerajaan juga membenarkan cukai jualan ke atas produk petroleum, menjana hasil tambahan RM2 bilion kepada Sabah sejak 2022.- SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE