Read Time:1 Minute, 40 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Umas, Mohd Khairul Iwan, menyatakan keyakinan terhadap hala tuju pembangunan di kawasan Felda Umas, yang menurutnya berjalan dengan baik walaupun dilaksanakan secara berperingkat.
Beliau berkata, pendekatan pembangunan bertahap bukan halangan selagi manfaatnya sampai kepada golongan sasaran, terutamanya dalam aspek pendidikan dan kesejahteraan sosial masyarakat setempat.
“Setakat ini, pandangan peribadi saya, semuanya baik walaupun pembahagian pembangunan bertahap, tapi masih sampai pada sasaran. Pendidikan juga menyeluruh walaupun dilaksanakan secara berperingkat,” katanya kepada Sabah Media.
Menurut Khairul, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan, latihan kemahiran, serta program inovasi dan keusahawanan bagi memperkasakan golongan muda di kawasan Felda.
Bagi tempoh 2021 hingga 2025, kerajaan memperkenalkan 14 inisiatif baharu dengan peruntukan RM164.14 juta yang memberi manfaat kepada 210,918 pelajar di seluruh negeri.
Pembangunan belia turut diangkat sebagai salah satu tonggak utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), selaras dengan peranan penting anak muda sebagai ejen perubahan sosial dan ekonomi.
Khairul turut menambah bahawa mutu pembangunan sukan di negeri ini juga menunjukkan perkembangan positif, terutama di peringkat sekolah dan daerah.
“Saya lihat mutu sukan baik di peringkat sekolah atau daerah. Sukan SAGA yang lalu berjalan lancar walaupun sudah bubar, namun semangat kesukanan masih kekal tinggi tanpa mengira parti atau latar belakang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan meneliti semula syarat kelayakan bantuan eKasih, khususnya bagi anak-anak peneroka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap walaupun menetap di kawasan Felda.
“Syarat sekarang agak ketat. Anak peneroka yang tidak bekerja sering ditolak permohonan mereka kerana dianggap tidak layak atas status ibu bapa yang berkemampuan. Ini tidak adil kerana pendapatan itu tidak semestinya dikongsi bersama anak-anak,” katanya.
Khairul turut memaklumkan bahawa empat belia Felda Umas yang telah berkahwin menerima manfaat daripada program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), sekali gus membantu mereka memulakan kehidupan berkeluarga dengan lebih selesa.
Beliau berharap lebih banyak inisiatif seumpama itu diteruskan bagi memastikan golongan belia Felda terus mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya daripada kerajaan negeri.