Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Pemandu lori, wanita maut dalam nahas tiga kenderaan

Read Time:1 Minute, 17 Second

TAWAU: Seorang pemandu lori dan seorang wanita maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 60 Jalan Tawau–Kunak, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, kemalangan melibatkan sebuah pikap Toyota Hilux, kereta Proton Saga dan lori Isuzu rigid.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan pada jam 12.10 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pikap Toyota Hilux dipandu wanita berusia 43 tahun dari arah Kunak menuju Tawau.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pikap Toyota Hilux hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 39 tahun,” katanya dalam kenyataan, di sini pada Ahad.

Menurutnya, impak perlanggaran itu menyebabkan Toyota Hilux terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung pula dengan lori Isuzu rigid dipandu lelaki berusia 21 tahun dari arah Tawau.

“Pemandu lori tersepit di tempat duduk dan dikeluarkan anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu pikap pula tercampak keluar dari kenderaan dan diberi rawatan awal oleh petugas kesihatan namun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Zon Merah Hospital Kunak.

Sementara itu, katanya, pemandu Proton Saga yang juga pemandu e-hailing tidak mengalami kecederaan.

Jasmin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau membahayakan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu terutama di lebuh raya. Elak memandu dalam keadaan mengantuk, letih atau tergesa-gesa serta sentiasa patuhi had laju,” katanya.

LEAVE A RESPONSE