Read Time:1 Minute, 21 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan seorang lelaki yang didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat 725.6 gram.
Tertuduh, Nazri Santa @ Edd, 26, dilihat memanjatkan doa kesyukuran sejurus Hakim Datuk Alexander Siew How Wai memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Ibu tertuduh dan ahli keluarga lain yang hadir di galeri awam turut dilihat menitiskan air mata.
Dalam penghakimannya, Alexander berkata selepas menilai keseluruhan keterangan yang dikemukakan, mahkamah mendapati terdapat banyak persoalan yang tidak terjawab dalam kes tersebut.
Antaranya ialah kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa menunjukkan tertuduh memandu sendiri ke lokasi kejadian.
“Dengan semua persoalan yang tidak terjawab serta kegagalan mengemukakan rakaman CCTV, mahkamah mempunyai alasan untuk meragui kebenaran keterangan saksi pendakwaan berhubung dakwaan bahawa tertuduh cuba melarikan diri ketika didekati oleh pegawai serta keseluruhan naratif pendakwaan mengenai apa yang kononnya dikatakan atau dilakukan tertuduh pada masa tangkapan.
“Oleh itu, tertuduh dibebaskan dan dilepaskan,” katanya.
Nazri didakwa melakukan kesalahan itu pada 26 haribulan Ogos 2024, jam lebih kurang 6 petang, bertempat di tempat letak kereta Beverly Hills Phase 5, Penampang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta yang sama. Seksyen ini memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahn.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 13 Januari lalu, pihak pendakwaan memanggil empat orang saksi.
Tertuduh diwakili peguam Hairul Vaiyron Othman dan Luke Ressa Balang, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus.






